Pages

Wednesday, December 15, 2010

PPIM MAHU KERAJAAN BANTU PELAJAR DI MESIR

PETIKAN BERITA HARIAN 14/12/10
2010/12/14
 
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengambil inisiatif menguruskan pinjaman kewangan kepada 4,784 pelajar persendirian Malaysia di Mesir yang terpaksa bergelut untuk meneruskan pengajian mereka ekoran kekangan kewangan.

Setiausaha Kerjanya, Datuk Nadzim Johan, berkata walaupun jumlah pelajar yang ditimpa bermasalah itu dilihat kecil, namun mereka juga adalah modal insan kepada pembentukan negara Malaysia yang maju dan berdaya saing.

“Mereka sekarang berada dalam situasi tertekan, takkan kita mahu menambahkan bebanan mereka untuk mencari biasiswa ataupun pinjaman dalam masa ini, jadi PPIM berharap sangat agar menteri sendiri mengambil langkah sewajarnya.

“Pembabitan Datuk Seri Mohamed Khaled secara terus mungkin dapat bantu pelajar kita di sana,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Mohamed Khaled baru-baru ini yang menyatakan Kementerian Pengajian Tinggi tidak mempunyai dana khas bagi membantu pelajar persendirian yang mengikuti pengajian di luar negara.

Mohamed Khaled dilaporkan berkata, pelajar persendirian boleh memohon mendapatkan pinjaman daripada agensi lain seperti Amanah Raya Berhad (ARB), namun mereka perlu memenuhi kriteria ditetapkan antaranya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Nadzim, berkata berdasarkan aduan diterima PPIM baru-baru ini, ada kira-kira 300 pelajar yang sebahagiannya mengambil jurusan kritikal seperti perubatan, pergigian dan farmasi terpaksa menamatkan pengajian mereka dan pulang lebih awal, Januari ini akibat tidak mampu membayar yuran pengajian.
“Ada antara mereka ini diminta oleh pihak kerajaan untuk pergi dulu ke sana dan bantuan biasiswa ataupun pinjaman akan diberikan selepas itu... ada juga yang sudah menerima pinjaman tetapi ditarik balik.

“Oleh itu, PPIM berharap Datuk Seri Mohamed Khaled tidak lepas tangan dan membantu membela nasib mereka,” katanya.

    

2 comments:

miss said...

harap pihak kerajaan membantu mereka ini,mereka jugalah yang bakal memimpin negara Malaysia kelak

tahfizdarulhafidzin said...

http://tahfizdarulhafidzin.blogspot.com/2010/12/memohon-sumbangan-pembangunan-maahad_15.html

Post a Comment