Pages

Tuesday, December 14, 2010

PETIKAN MEDIA 11/12/10-Respon Menteri


1) Tiada dana bantu pelajar persendirian

2010/12/12-Penuntut di luar negara perlu mohon daripada agensi lain

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi tidak mempunyai dana khas bagi membantu pelajar persendirian yang mengikuti pengajian di luar negara, khususnya yang sedang menghadapi masalah kewangan.
 
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pelajar persendirian yang berdepan masalah kewangan boleh memohon mendapatkan pinjaman daripada agensi lain seperti Amanah Raya Berhad (ARB), namun mereka perlu memenuhi kriteria ditetapkan antaranya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan di universiti terbabit.

“Kementerian memang tidak ada dana tertentu dan tidak pernah beri pinjaman kepada pelajar yang belajar di luar negara, sebaliknya pinjaman atau biasiswa diberikan oleh agensi tertentu seperti ARB atau Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Lagipun, kita bukan saja ada pelajar persendirian di Mesir, banyak lagi di merata dunia antaranya Indonesia dan Ukraine.

“Sudah tentulah implikasinya besar kepada kerajaan dan tidak mungkin kerajaan mampu untuk lakukan itu,” katanya selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Peluang Kedua pada Konvensyen Belia FELDA di sini, semalam.

Kelmarin akhbar melaporkan mengenai masalah dihadapi 4,784 pelajar persendirian tanpa tajaan biasiswa dan pinjaman kerajaan bergelut untuk meneruskan pengajian ekoran kekangan kewangan.
Daripada jumlah itu, 2,000 pelajar sedang mengikuti jurusan dalam bidang kritikal seperti perubatan, pergigian dan farmasi.

Sementara itu, Tabung Kecemasan Pendidikan untuk membantu pelajar tempatan yang meneruskan pengajian peringkat universiti di Mesir, sudah berjaya mengumpul kira-kira RM10,000 sejak dilancarkan kelmarin.

Penaung tabung yang juga Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, berkata walaupun dilakukan dalam masa singkat, jumlah kutipan setakat kini amat memberangsangkan.

“Kami kena cepat untuk menolong pelajar kita yang belajar di universiti Mesir. Jika tiada sumber kewangan mencukupi, hasrat mereka untuk menduduki peperiksaan akan terkubur.

“Menurut maklumat diterima, seramai lima pelajar yang betul-betul memerlukan bantuan ini. Mereka hampir hilang keupayaan untuk belajar. Jika pulang ke Malaysia dikhuatiri moral mereka akan jatuh dan membantutkan cita-cita,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam.

Maamor juga menyatakan kebanyakan pelajar yang mengikuti pengajian di sana hanya mengharapkan sumber kewangan keluarga walaupun dijanjikan untuk mendapat biasiswa sebelum ini oleh beberapa pihak.

“Sebelum ini mereka dijanjikan bakal mendapat bantuan kewangan dari beberapa pihak tetapi sampai kini tiada yang memberi bantuan seperti biasiswa. Ini yang menambahkan lagi kekangan kewangan mereka.

“Jika tahu dari awal begini, saya pasti mereka tidak mahu pergi menyambung pelajaran di sana. Sekarang terpaksa meminjam dari rakan dan keluarga bagi menampung kos hidup di Mesir,” katanya.  


2) Tiada dana khas

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi tidak mempunyai dana khas untuk membantu pelajar persendirian di luar negara yang mengalami masalah kewangan, namun Amanah Raya Bhd (Amanah Raya) bersedia memberikan pinjaman dengan syarat mereka cemerlang dalam peperiksaan di universiti terbabit.
 
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan tidak mampu membantu semua pelajar berkenaan kerana ada puluhan ribu pelajar persendirian yang mengikuti pengajian di beberapa universiti, termasuk di Indonesia dan Ukraine.
 
“Kita bukan saja ada pelajar persendirian di Mesir, tetapi ramai lagi pelajar persendirian di merata dunia dan tentu ia memberi implikasi besar kepada kerajaan dan tidak mungkin kerajaan mampu melakukannya (membantu).
 
“Jadi, sebelum kita buat keputusan kita perlu ambil kira implikasinya,” katanya pada sidang media selepas membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Peluang Kedua’ pada Konvensyen Belia Felda, di sini, semalam.
 
Konvensyen itu diadakan sempena Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini.
 
Beliau mengulas laporan mengenai seramai 4,784 pelajar persendirian tanpa tajaan biasiswa dan pinjaman kerajaan di Mesir bergelut untuk meneruskan pengajian disebabkan kekangan kewangan, sekali gus membataskan impian mereka mendapat ijazah jika tidak dibantu.
 
Daripada jumlah itu, 2,000 pelajar mengikuti jurusan dalam bidang kritikal seperti perubatan, pergigian dan farmasi. Lebih mengejutkan, sebahagian daripada pelajar itu terpaksa pulang jika gagal melunaskan yuran pengajian selewat-lewatnya Januari depan.
 
Berikutan itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menubuhkan Tabung Kecemasan Pendidikan untuk membantu pelajar negara ini meneruskan pengajian di universiti di Mesir.
 
Mohamed Khaled berkata, Amanah Raya bersedia memberi bantuan sama ada daripada segi pinjaman atau biasiswa, tetapi mereka perlu memenuhi syarat ditetapkan, termasuk cemerlang dalam peperiksaan sepanjang mengikuti pelajaran di negara berkenaan.
 
“Dalam membantu pelajar, kita mesti mengikut garis panduan yang dibuat, kita hanya bantu mereka yang betul-betul cemerlang supaya orang tak marah, kalau bantu semua orang (termasuk yang tidak cemerlang) orang pasti akan marah.
 
“Kalau tak buat macam tu (beri bantuan kepada semua pelajar), saya percaya ibu bapa akan terus hantar anak mereka ke luar negara tanpa mengira sama ada mereka lulus atau sebaliknya, ,” katanya.



3) RADIO 24, BERNAMA

Kerajaan Meminta Amanah Raya Menimbang Memberi Pinjaman Kepada Pelajar Persendirian Di Kaherah
10 Disember -- Kerajaan telah meminta Amanah Raya Bhd menimbang memberi pinjaman kepada pelajar persendirian di Kaherah yang kini menghadapi masalah kewangan bagi meneruskan pengajian mereka.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Amanah Raya pada dasarnya telah bersetuju untuk mempertimbangkan pemberian pinjaman kepada pelajar berkenaan berasaskan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu kira-kira 2,000 pelajar persendirian di Mesir yang menghadapi kemungkinan terkandas dalam pelajaran mereka akibat gagal mendapat tajaan.

Semalam Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman membangkitkan isu tersebut ketika melancarkan Tabung Kecemasan Pendidikan bagi membantu para pelajar berkenaan.


0 comments:

Post a Comment