Pages

Monday, January 10, 2011

ADUAN PPIM-BANTUAN DIPERLUKAN

Tuesday, December 28, 2010

ADUAN-MEMOHON BANTUAN KEWANGAN

From: m.........................<@gmail.com>
Date: 2010/12/27
Subject: Ingin memohon bantuan kewangan
To: aduanppim@gmail.com, muslimconsumers@gmail.com


Seperti perkara di atas, saya ............................., pelajar tahun 2 Universiti Tanta dalam bidang perubatan masih belum mendapat apa2 tajaan. Saya benar2 berharap dapat menjelaskan yuran pada tahun ini sebanyak 8000USD. Mengikut info yang diperolehi, pelajar perlu menjelaskan yuran sebelum peperiksaan pertengahan tahun (midsem) dalam bulan Februari. Sekiranya tidak berbuat demikian, pelajar tidak akan dibenarkan untuk mengambil peperiksaan itu. Keprihatinan pihak tuan amat saya hargai

Sedikit butiran peribadi:
1. mendapat jayyid
2. sudah mempunyai NOC
3. ibu bapa keduanya guru dan kedua2nya pernah membuat pinjaman bank untuk pengajian abang, kakak serta saya sendiri
4. adik beradik kami adalah seramai 10 orang

Sekiranya pihak tuan memerlukan apa jua dokumen daripada saya, emailkan kepada saya butirannya dan saya akan seberapa segera menghantarnya

Yang mengharap,

..............................

( Identiti pengadu dirahsiakan atas permintaan beliau )

Friday, December 24, 2010

PENGHANTARAN MEMORANDUM MENGENAI PERMASALAHAN KEWANGAN YANG DIHADAPI OLEH PELAJAR-PELAJAR MALAYSIA DI TIMUR TENGAH

ASSALAMUALAIKUM...

Hari ini, 24 Disember 2010 Bersamaan 18 Muharam 1432H Memorandum Mengenai Permasalahan Kewangan Yang Dihadapi Oleh Pelajar-pelajar Malaysia di Timur Tengah telah dihantar ke Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan bagi tindakan selanjutnya.

Sunday, December 19, 2010

BANTUAN MASIH DIPERLUKAN

PPIM telah menerima banyak lagi aduan dan permohonan bantuan kewangan dari pelajar-pelajar tempatan dan luar negara yang menghadapi masalah kewangan.

Insyaallah, kami akan tetap membantu sedaya yang boleh dan akan membawa perkara ini kepada Timbalan Perdana Menteri.

Segala aduan boleh terus melalui emel aduanppim@gmail.com atau muslimconsumers@gmail.com atau faks aduan ke 03-42566617 atau datang terus ke sekretariat di 70X Jalan Keramat Hujung, Bukit Keramat, 54000 atau datang ke kaunter aduan PPIM di Sembang Sembang Cafe, Lot LG 6, The Mall.

Sebarang pertanyaan, hubungi 03-42577222/0193591000/0199130000.

Wednesday, December 15, 2010

ADUAN PPIM-Pelajar yang ditawarkan oleh Kementerian, tetapi tidak mendapat tajaan/pinjaman

PPIM MAHU KERAJAAN BANTU PELAJAR DI MESIR

PETIKAN BERITA HARIAN 14/12/10
2010/12/14
 
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengambil inisiatif menguruskan pinjaman kewangan kepada 4,784 pelajar persendirian Malaysia di Mesir yang terpaksa bergelut untuk meneruskan pengajian mereka ekoran kekangan kewangan.

Setiausaha Kerjanya, Datuk Nadzim Johan, berkata walaupun jumlah pelajar yang ditimpa bermasalah itu dilihat kecil, namun mereka juga adalah modal insan kepada pembentukan negara Malaysia yang maju dan berdaya saing.

“Mereka sekarang berada dalam situasi tertekan, takkan kita mahu menambahkan bebanan mereka untuk mencari biasiswa ataupun pinjaman dalam masa ini, jadi PPIM berharap sangat agar menteri sendiri mengambil langkah sewajarnya.

“Pembabitan Datuk Seri Mohamed Khaled secara terus mungkin dapat bantu pelajar kita di sana,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Mohamed Khaled baru-baru ini yang menyatakan Kementerian Pengajian Tinggi tidak mempunyai dana khas bagi membantu pelajar persendirian yang mengikuti pengajian di luar negara.

Mohamed Khaled dilaporkan berkata, pelajar persendirian boleh memohon mendapatkan pinjaman daripada agensi lain seperti Amanah Raya Berhad (ARB), namun mereka perlu memenuhi kriteria ditetapkan antaranya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Nadzim, berkata berdasarkan aduan diterima PPIM baru-baru ini, ada kira-kira 300 pelajar yang sebahagiannya mengambil jurusan kritikal seperti perubatan, pergigian dan farmasi terpaksa menamatkan pengajian mereka dan pulang lebih awal, Januari ini akibat tidak mampu membayar yuran pengajian.
“Ada antara mereka ini diminta oleh pihak kerajaan untuk pergi dulu ke sana dan bantuan biasiswa ataupun pinjaman akan diberikan selepas itu... ada juga yang sudah menerima pinjaman tetapi ditarik balik.

“Oleh itu, PPIM berharap Datuk Seri Mohamed Khaled tidak lepas tangan dan membantu membela nasib mereka,” katanya.

    

Tuesday, December 14, 2010

PETIKAN MEDIA 11/12/10-Respon Menteri


1) Tiada dana bantu pelajar persendirian

2010/12/12-Penuntut di luar negara perlu mohon daripada agensi lain

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi tidak mempunyai dana khas bagi membantu pelajar persendirian yang mengikuti pengajian di luar negara, khususnya yang sedang menghadapi masalah kewangan.
 
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pelajar persendirian yang berdepan masalah kewangan boleh memohon mendapatkan pinjaman daripada agensi lain seperti Amanah Raya Berhad (ARB), namun mereka perlu memenuhi kriteria ditetapkan antaranya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan di universiti terbabit.

“Kementerian memang tidak ada dana tertentu dan tidak pernah beri pinjaman kepada pelajar yang belajar di luar negara, sebaliknya pinjaman atau biasiswa diberikan oleh agensi tertentu seperti ARB atau Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Lagipun, kita bukan saja ada pelajar persendirian di Mesir, banyak lagi di merata dunia antaranya Indonesia dan Ukraine.

“Sudah tentulah implikasinya besar kepada kerajaan dan tidak mungkin kerajaan mampu untuk lakukan itu,” katanya selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Peluang Kedua pada Konvensyen Belia FELDA di sini, semalam.

Kelmarin akhbar melaporkan mengenai masalah dihadapi 4,784 pelajar persendirian tanpa tajaan biasiswa dan pinjaman kerajaan bergelut untuk meneruskan pengajian ekoran kekangan kewangan.
Daripada jumlah itu, 2,000 pelajar sedang mengikuti jurusan dalam bidang kritikal seperti perubatan, pergigian dan farmasi.

Sementara itu, Tabung Kecemasan Pendidikan untuk membantu pelajar tempatan yang meneruskan pengajian peringkat universiti di Mesir, sudah berjaya mengumpul kira-kira RM10,000 sejak dilancarkan kelmarin.

Penaung tabung yang juga Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, berkata walaupun dilakukan dalam masa singkat, jumlah kutipan setakat kini amat memberangsangkan.

“Kami kena cepat untuk menolong pelajar kita yang belajar di universiti Mesir. Jika tiada sumber kewangan mencukupi, hasrat mereka untuk menduduki peperiksaan akan terkubur.

“Menurut maklumat diterima, seramai lima pelajar yang betul-betul memerlukan bantuan ini. Mereka hampir hilang keupayaan untuk belajar. Jika pulang ke Malaysia dikhuatiri moral mereka akan jatuh dan membantutkan cita-cita,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam.

Maamor juga menyatakan kebanyakan pelajar yang mengikuti pengajian di sana hanya mengharapkan sumber kewangan keluarga walaupun dijanjikan untuk mendapat biasiswa sebelum ini oleh beberapa pihak.

“Sebelum ini mereka dijanjikan bakal mendapat bantuan kewangan dari beberapa pihak tetapi sampai kini tiada yang memberi bantuan seperti biasiswa. Ini yang menambahkan lagi kekangan kewangan mereka.

“Jika tahu dari awal begini, saya pasti mereka tidak mahu pergi menyambung pelajaran di sana. Sekarang terpaksa meminjam dari rakan dan keluarga bagi menampung kos hidup di Mesir,” katanya.  


2) Tiada dana khas

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi tidak mempunyai dana khas untuk membantu pelajar persendirian di luar negara yang mengalami masalah kewangan, namun Amanah Raya Bhd (Amanah Raya) bersedia memberikan pinjaman dengan syarat mereka cemerlang dalam peperiksaan di universiti terbabit.
 
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan tidak mampu membantu semua pelajar berkenaan kerana ada puluhan ribu pelajar persendirian yang mengikuti pengajian di beberapa universiti, termasuk di Indonesia dan Ukraine.
 
“Kita bukan saja ada pelajar persendirian di Mesir, tetapi ramai lagi pelajar persendirian di merata dunia dan tentu ia memberi implikasi besar kepada kerajaan dan tidak mungkin kerajaan mampu melakukannya (membantu).
 
“Jadi, sebelum kita buat keputusan kita perlu ambil kira implikasinya,” katanya pada sidang media selepas membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Peluang Kedua’ pada Konvensyen Belia Felda, di sini, semalam.
 
Konvensyen itu diadakan sempena Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini.
 
Beliau mengulas laporan mengenai seramai 4,784 pelajar persendirian tanpa tajaan biasiswa dan pinjaman kerajaan di Mesir bergelut untuk meneruskan pengajian disebabkan kekangan kewangan, sekali gus membataskan impian mereka mendapat ijazah jika tidak dibantu.
 
Daripada jumlah itu, 2,000 pelajar mengikuti jurusan dalam bidang kritikal seperti perubatan, pergigian dan farmasi. Lebih mengejutkan, sebahagian daripada pelajar itu terpaksa pulang jika gagal melunaskan yuran pengajian selewat-lewatnya Januari depan.
 
Berikutan itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menubuhkan Tabung Kecemasan Pendidikan untuk membantu pelajar negara ini meneruskan pengajian di universiti di Mesir.
 
Mohamed Khaled berkata, Amanah Raya bersedia memberi bantuan sama ada daripada segi pinjaman atau biasiswa, tetapi mereka perlu memenuhi syarat ditetapkan, termasuk cemerlang dalam peperiksaan sepanjang mengikuti pelajaran di negara berkenaan.
 
“Dalam membantu pelajar, kita mesti mengikut garis panduan yang dibuat, kita hanya bantu mereka yang betul-betul cemerlang supaya orang tak marah, kalau bantu semua orang (termasuk yang tidak cemerlang) orang pasti akan marah.
 
“Kalau tak buat macam tu (beri bantuan kepada semua pelajar), saya percaya ibu bapa akan terus hantar anak mereka ke luar negara tanpa mengira sama ada mereka lulus atau sebaliknya, ,” katanya.



3) RADIO 24, BERNAMA

Kerajaan Meminta Amanah Raya Menimbang Memberi Pinjaman Kepada Pelajar Persendirian Di Kaherah
10 Disember -- Kerajaan telah meminta Amanah Raya Bhd menimbang memberi pinjaman kepada pelajar persendirian di Kaherah yang kini menghadapi masalah kewangan bagi meneruskan pengajian mereka.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Amanah Raya pada dasarnya telah bersetuju untuk mempertimbangkan pemberian pinjaman kepada pelajar berkenaan berasaskan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu kira-kira 2,000 pelajar persendirian di Mesir yang menghadapi kemungkinan terkandas dalam pelajaran mereka akibat gagal mendapat tajaan.

Semalam Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman membangkitkan isu tersebut ketika melancarkan Tabung Kecemasan Pendidikan bagi membantu para pelajar berkenaan.


KERATAN DAN PETIKAN MEDIA MENGENAI SIDANG MEDIA PADA 9/12/10

 
1) BANTU PELAJAR DI TIMUR TENGAH
 
KUALA LUMPUR: Prihatin terhadap nasib kira-kira 2,000 pelajar Islam yang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di luar negara khususnya Timur Tengah yang terpaksa ‘merempat’ akibat tiada wang tajaan membiayai pendidikan mereka, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melancarkan Tabung Kecemasan Pendidikan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Maamor Osman berkata, pihaknya simpati terhadap nasib membelenggu pelajar terbabit yang berkemungkinan besar terpaksa melupakan hasrat bergelar pakar perubatan. Beliau berkata, daripada jumlah terbabit, kira-kira 500 pelajar pelbagai jurusan perubatan termasuk pergigian dan farmasi berhadapan dengan masalah kewangan kronik kerana kebanyakannya datang daripada keluarga susah antaranya nelayan dan petani. “Kita sedih melihat keadaan mereka kerana pelajar ini semuanya cemerlang dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tetapi akibat masalah kewangan dan tiada bantuan, negara mungkin kehilangan calon pakar perubatan. “Kebanyakan mereka ini dibiaya keluarga sendiri pada tahun pertama dengan purata kira-kira RM50,000 sudah dihabiskan bagi menampung pengajian. “Tapi, mereka kini sudah tiada wang untuk meneruskan pengajian hingga ada yang terpaksa mengikat perut, berkongsi makanan dan kediaman semata-mata untuk meneruskan pengajian,” katanya pada sidang media selepas melancarkan tabung berkenaan, di sini, semalam. Turut hadir, Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Arman Azha Abu Hanifah; Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim dan Ahli Majlis Perundingan Melayu, Yusof Suhaimi Mohd Yatim. Dr Maamor berkata, selepas mengadakan beberapa rundingan bersama beberapa badan sebelum ini, pihaknya mendapatkan kerjasama Amanah Raya yang sanggup memberi biasiswa kepada kira-kira 200 pelajar mengikut kriteria ditetapkan iaitu pelajar yang mampu mendapat sekurang-kurangnya kelas dua rendah di universiti masing-masing.
 
Katanya, berdasarkan kriteria itu, hanya 150 pelajar menerima bantuan kewangan Amanah Raya manakala nasib 350 lagi masih terkontang-kanting. Justeru, katanya, pihaknya menubuhkan tabung bantuan berkenaan sebagai bantuan awal bagi menyelamatkan pengajian pelajar terbabit yang dikatakan merosot akibat serabut dengan masalah kewangan, serta pada masa sama masih menjalankan rundingan untuk mendapatkan kerjasama bantuan daripada syarikat milik kerajaan.

“Pelajar ini seolah terpinggir sedangkan kita sedia maklum negara kekurangan profesional dalam bidang perubatan dan mereka ini boleh menjadi aset untuk pulang membantu rakyat,” katanya. Menurutnya, perbandingan yuran pengajian dalam bidang perubatan di Timur Tengah adalah paling rendah iaitu kira-kira RM150,000 bagi enam tahun pengajian jika dibandingkan di Malaysia (RM250,000), Indonesia (RM300,000) dan Ireland (RM1.5 juta) bagi setiap pelajar.


Beliau berkata, pihaknya menyasarkan mengumpul RM30,000 dalam tempoh tiga minggu pertama selepas pelancaran sebelum diteruskan sebagai tabung bantuan awal kewangan untuk membantu pelajar dalam bidang kritikal di luar negara yang tidak mendapat sebarang bantuan.

Sementara itu, seorang bapa pelajar, Azali Idris, 52, berkata anak perempuannya yang kini menuntut dalam bidang perubatan di Australia turut melaporkan keadaan kira-kira 88 rakannya yang belajar secara persendirian di negara itu terpaksa berpuasa setiap hari meneruskan pengajian berikutan tidak menerima sebarang bentuk pinjaman. Ahli perniagaan itu, berkata dia sendiri sudah berhabisan tidak kurang RM30,000 untuk membiayai sendiri pelajaran anaknya, Ezza Nor Adzliyanni, 19, yang mendapat keputusan 8A1 dalam SPM, bagi tahun pertama saja, kerana tidak mendapat sebarang bentuk bantuan kewangan daripada mana-mana pihak. “Memang sedih melihat nasib pelajar perubatan di luar negara yang cemerlang tetapi tidak mampu meneruskan pengajian kerana tidak ada bantuan kewangan sedangkan mereka ini boleh menjadi aset kepada negara,” katanya. Bagi mereka yang prihatin, sumbangan boleh disalurkan dengan melayari laman web http://tabungkecemasanpendidikan.blogspot.com/ atau dalam bentuk cek/wang tunai ke PPIM melalui akaun CIMB bernombor 14370003771050.


2) Tabung Kecemasan Pendidikan dilancar2010/12/10

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam melancarkan Tabung Kecemasan Pendidikan untuk membantu pelajar negara ini meneruskan pengajian di universiti di Mesir.

Ia berikutan seramai 4,784 pelajar persendirian tanpa tajaan biasiswa dan pinjaman kerajaan bergelut untuk meneruskan pengajian ekoran kekangan kewangan sekali gus membataskan impian mereka mendapat ijazah sekiranya tidak dibantu.

Daripada jumlah itu, 2,000 pelajar sedang mengikuti jurusan dalam bidang kritikal seperti perubatan, pergigian dan farmasi. Lebih mengejutkan sebahagian daripada pelajar itu terpaksa pulang sekiranya gagal lunas yuran pengajian selewat-lewatnya Januari depan.

Sehubungan itu, RM30,000 diperlukan pada peringkat permulaan untuk disalurkan kepada pelajar berkenaan bagi meneruskan sesi pengajian dari tahun tiga hingga enam bermula awal tahun depan.

Penaung tabung yang juga Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Maamor Osman, berkata PPIM bersama Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Perundingan Melayu berusaha mengumpul dana bantuan sehingga penghujung Disember untuk membantu pelajar berkenaan.

“Kita berharap rakyat Malaysia dapat menghulurkan bantuan kepada pelajar kita di Mesir seperti kita bantu rakyat negara asing ditimpa bencana. Tanpa bantuan kita mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama Presiden GPMS, Jais Abdul Karim; Ketua Wira PERKASA, Arman Azha Abu Hanifah; Exco MBM, Abdul Rizam Mohd Akhir dan ahli Majlis Perundingan Melayu, Yusof Suhaimi Mohd Yatim.

Maamor berharap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut melaksanakan tanggungjawab sosial menghulurkan bantuan.

Orang ramai boleh memberikan sumbangan melalui nombor akaun Bank CIMB 14370003771050 atas nama Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan maklumat lanjut boleh melayari laman web tabungkecemasanpendidikan.blogspot.com
 

3) 2,000 pelajar Malaysia Timur Tengah dihimpit masalah kewangan


KUALA LUMPUR, 9 Dis – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak Putrajaya supaya mencari jalan penyelesaian berhubung masalah yang dihadapi pelajar-pelajar yang menuntut di rantau Timur Tengah yang sehingga kini masih gagal mendapatkan pinjaman mahupun biasiswa daripada kerajaan.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Majlis Belia Malaysia dan Majlis Perundingan Melayu turut menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya menghulurkan bantuan kepada pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Timur Tengah terutamanya kepada kira-kira 2,000 pelajar di Mesir.

Turut terlibat dalam usaha itu syarikat milik pelakon dan pengacara AC Mizal iaitu AC Konsortium Sdn Bhd.

Pada sidang media hari ini, turut dilancarkan ialah Tabung Kecemasan Pendidikan yang berfungsi untuk membantu pelajar-pelajar yang gagal mendapatkan pinjaman kerajaan.
Menurut Setiausaha Agung PPIM Datuk Dr Ma’amor Osman, tabung itu diwujudkan kerana sehingga kini masih belum ada kata putus terhadap nasib pelajar di Mesir yang kini menghadapi masalah kewangan.

“Kebanyakan pelajar ini gagal mendapatkan pinjaman mahupun biasiswa daripada kerajaan, menyebabkan mereka terpaksa mengikat perut di sana, saya juga difahamkan bagi tahun pertama kos pengajian ditanggung oleh ibubapa masing-masing.

“Menurut maklumat yang saya terima, kerajaan bersetuju sekiranya pelajar-pelajar ini mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan mereka akan menerima bantuan daripada kerajaan, tapi sehingga kini tiada sebarang respons daripada pihak bertanggungjawab,” katanya.

Tambah Dr Ma’amor, terdapat beberapa pelajar cemerlang di Mesir amat memerlukan bantuan kewangan bagi meneruskan pengajian dalam bidang masing-masing di sana.
Namun, tambah beliau sehingga kini kerajaan masih belum memberi kata putus berhubung status pinjaman mereka.

“Jumlah sebenar pelajar ini saya belum dapat lagi, tapi mereka ini amat memerlukan bantuan kewangan. Jika mereka gagal menerima bantuan menjelang Januari ini, mereka terpaksa pulang ke Malaysia tanpa menghabiskan pengajian mereka.

“Melalui tabung ini kita sasarkan RM30,000 untuk membantu pelajar-pelajar ini, saya percaya dalam tempoh tiga minggu ini kita akan dapat mengumpul jumlah tersebut sebelum disalurkan kepada mereka.

“Buat masa terdekat ini kita sasarkan RM30,000 dulu kerana pelajar-pelajar ini amat memerlukan bantuan, tabung ini juga kita akan teruskan sampai bila-bila,” katanya.

Dr Ma’amor berkata, selain sumbangan daripada rakyat sumbangan daripada GLC amat diperlukan bagi membantu menampung kos pelajar-pelajar Malaysia di luar negara yang dianggarkan mencecah puluhan ribu.

“Kita akan bantu semua pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara tidak terhad kepada pelajar di Timur Tengah sahaja.

“Sebab itu kita memerlukan sumbangan daripada semua pihak termasuk GLC untuk menghulurkan bantuan melalui tabung yang kita tubuhkan ini.

“Saya percaya GLC ini akan menghulurkan bantuan untuk membantu pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara,” katanya.

Tambah Dr Ma’amor, satu pertemuan akan diadakan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan itu tersebut dan sekiranya Najib gagal mencari jalan penyelesaian pihaknya akan membawa isu itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Kita akan jumpa Perdana Menteri untuk bincangkan perkara ini sekiranya beliau juga tidak boleh mencari jalan penyelesaian kita akan membawa perkara ini kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sebarang maklumat mengenai Tabung Kecemasan Pendidikan boleh didapati di www.tabungkecemasanpendidikan.blogspot.com dan bantuan juga disalurkan melalui akaun bank atas nama Persatuan Pengguna Islam Malaysia nombor akaun 1437-0003-7710-50 (CIMB).


4) 2,000 Malaysian students in Egypt in financial distress

KUALA LUMPUR, Dec 9 — Some 2,000 students in Egypt are in dire need of financial aid after failing to get assistance from Putrajaya, several groups said today. 

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) secretary general Dato’ Dr Ma’amor Osman said the students taking the medicine, dentistry and pharmacy course in Egyptian universities will be stranded if they do not receive any money soon.

“Some of these students are in urgent need of RM 30,000 by January 2011. If this amount cannot be channelled to them in time, they will be stranded in Egypt, unable to pay their university fees,” Ma’amor said in a press conference.

He said these students were originally financed by their families for the first year but were promised financial aid by the government from their second year onwards if they meet the requirements.

“But they didn’t receive anything. They did meet the requirements but they got nothing,” Ma’amor said.
Ma’amor said the PPIM together with Perkasa, the Malaysian Youth Council, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) and Majlis Perunding Melayu had set up the Emergency Education Fund to collect the RM 30, 000 by the end of this month to help the students in need.

“In the meantime, we also urge the GLCs to exercise their social responsibilities by contributing to the emergency fund,” Ma’amor said.

“We will set up a meeting with the Prime Minister. We believe only he can solve this problem. But if the PM himself cannot solve this, then we will bring this issue to the King,” he added.

Ma’amor said even if the government and the GLCs provide financial assistance to the students in Egypt, the “emergency fund will still be continued. It would become a ‘ready-to-use’ fund.”

The students who would receive the financial aid will have to sign a pledge declaring that they would return and serve their country.

The pledge would also require them to contribute to the emergency fund.

However, Ma’amor told The Malaysian Insider that “the pledge the students would sign is not legally binding. It all depends on the sincerity of their hearts. If they want to contribute, they should. But if they don’t want to, it’s up to them.”

Perkasa Youth chief Arman Azha Abu Hanifah expressed his sadness over the matter and also urged the GLCs to come forward and set up education funds.

“I am saddened that our own students are not receiving any help for their education. I humbly ask all the GLCs to set up their own education funds to help the students. They are our future doctors,” Arman said.

Ma’amor claimed that the government imports doctors, dentists and pharmacists from around the world and asked “why can’t the government spend the money on our own students and help them financially in the medical courses?”

The NGOs have set up a CIMB bank account and have urged all Malaysians to donate to the fund.

Thursday, December 9, 2010

PELANCARAN TABUNG KECEMASAN PENDIDIKAN PADA 9 DISEMBER 2010



Alhamdulillah, majlis perlancaran Tabung Kecemasan Pendidikan telah selamat dilangsungkan. Kami amat berharap semoga usaha murni akan terus mendapat perhatian dan sumbangan demi untuk membantu bakal graduan-graduan Islam kita yang kini berada di Timur Tengah yang mana mereka amat memerlukan bantuan sementara bagi meneruskan pembelajaran mereka di sana. Tabung ini adalah inisiatif yang diwujudkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Perkasa, Majlis Belia Malaysia (MBM), Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS) Dan Majlis Perundingan Melayu (MPM),  Yayasan Basmi Kemiskinan dan beberapa NGO lain serta badan korporat seperti AC Konsortium dan Al-Meswak Mu'min (pengeluar Ubat Gigi terkenal Mu'min)

Terima kasih kami ucapkan kepada NGO, pihak media, badan korporat dan individu yang telah hadir untuk memberi sokongan yang tidak ternilai harganya.


SEKITAR MAJLIS PELANCARAN DAN SIDANG MEDIA DI SEMBANG SEMBANG CAFE

WAKIL NGO DAN KORPORAT

PELANCARAN TABUNG

PELANCARAN BLOG http ://tabungkecemasanpendidikan.blogspot.com


Segala sumbangan boleh disalurkan ke akaun Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) 14370003771050 (CIMB). Slip transaksi sumbangan perlulah difaks ke sekretariat di 03-42566617 atau emel ke muslimconsumers@gmail.com atau menghubungi sekretariat di talian 019-9130000. 

Wednesday, December 8, 2010

TABUNG KECEMASAN PENDIDIKAN






RINGKASAN EKSEKUTIF


Rentetan dari rungutan dan masalah kewangan tahap kritikal yang dihadapi oleh pelajar-pelajar Islam seberang laut khususnya yang melanjutkan pelajaran di Timur Tengah dengan pengkhususan dalam bidang professional seperti perubatan, farmasi dan pergigian yang gagal mendapatkan pinjaman mahupun biasiswa kerajaan.

Kebanyakan dari pelajar terbabit adalah pelajar-pelajar pintar Islam yang tidak mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran di IPTA didalam Negara.

Maka PPIM beserta badan-badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak ketuanan Melayu dan Islam mengambil pendekatan drastik dengan menubuhkan TABUNG KECEMASAN PENDIDIKAN dibawah kendalian bersama antara Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan NGO-NGO prihatin yang lainnya.

OBJEKTIF   
                                      I.      Menubuhkan tabung dan mengadakan kutipan sumbangan dari semua sumber dimana dana yang terkumpul akan disalurkan untuk membantu pelajar-pelajar yang akan dikenalpasti oleh secretariat TABUNG KPI.

                                    II.      Memastikan pelajar yang berpotensi tidak terganggu pelajaran mereka disebabkan masalah kewangan yang dihadapi dalam masa proses pembelajaran mereka sedang berjalan.

VISI    
                                      I.      Melahirkan ramai professional Melayu yang memiliki akhlak terpuji dan memiliki asas kukuh dalam pendidikan Agama.

                                    II.      Meramaikan professional yang mencakupi pelbagai disiplin ilmu termasuk sains dan teknologi dan seterusnya mengimbangi bilangan professional bukan melayu yang ternyata lebih ramai dari professional Melayu yang ada dinegara kita buat masa ini.


DATA RASIONAL

Jumlah pelajar yang belajar di Universiti yang terdapat di Mesir kini ialah seramai 6440 orang.

Pecahan dari jumlah tersebut :-

Tajaan                       Jumlah

JPA                            668     pelajar
MARA                        936     pelajar
Amanahraya              52      pelajar
                                    ____
Jumlah                      1656   pelajar
                                    ====
Baki seramai 4784 orang adalah pelajar persendirian tanpa tajaan mahupun biasiswa dan pinjaman kerajaan.

Dari sejumlah 4784 orang pelajar tanpa tajaan mahupun biasiswa kerajaan lebih dari 2000 orang pelajar mengambil jurusan dalam bidang professional seperti perubatan, pergigian dan farmasi.




Berdasarkan carta yang diberikan ratio professional melayu dan bukan melayu ternyata tidak seimbang dan memerlukan remedi kalau perbandingan berdasarkan jumlah pecahan penduduk diambil kira.

Terdapat lebih dari 2000 pelajar melayu yang menuntut dalam jurusan Professional seperti perubatan, pergigian dan farmasi dengan biaya persendirian pada masa kini bertaburan disekitar Universiti di Mesir.

DAN KEBANYAKAN DARI MEREKA INI YANG PADA AWALNYA DIBIAYAI OLEH KELUARGA DAN KINI BERADA DITAHUN KEDUA DIUNIVERSITI TERBABIT BERADA DALAM SITUASI KEWANGAN YANG AMAT KRITIKAL DAN MEMBIMBANGKAN.

Dari jumlah yang disebutkan seramai 500 pelajar dari jurusan professional berada pada tahap yang amat kritikal dan memerlukan sokongan kewangan dalam bentuk tajaan maupun pinjaman. Dimana sekiranya bantuan kewangan tidak dapat disalurkan pada kadar segera mereka ini terpaksa berhenti belajar dan pulang ketanah air dengan perasaan hampa dan kecewa.  MEREKA AKAN PULANG KENEGARANYA BUKAN KERANA GAGAL DALAM PELAJARAN TETAPI BANGSA DAN KERAJAANNYA GAGAL MEMBANTU MEREKA. DIKALA ITU DIMANA MARUAH KITA.


APAKATA PERLEMBAGAAN KITA?

1:   TUNTUTAN PERLAKSANAAN WAJIB PERKARA 153(1); 161A(4).

Adalah menjadi tanggungjawab Yang diPertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputra mana-mana Negeri-negeri Sabah dan Sarawak …
i)                    Di bawah 153(2)..mengenai jawatan dalam perkhidmatan awam, dan..

ii)                  mengenai biasiswa, bantuan dan lain-lain keistimewaan pelajaran atau latihan yang seumpamanya..

iii)                atau lain-lain kemudahan khas yang diberi atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan;

iv)                153(3) bagi menentukan perezapan bagi orang Melayu dan bumiputra mana-mana Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan mengenai biasiswa, bantuan dan lain-lain ke istimewaan pelajaran atau latihan atau kemudahan-kemudahan khas;

v)                  Yang diPertuan Agong boleh memberi apa-apa arahan am sebagaimana yang dikehendaki bagi maksud itu;

vi)                kepada mana-mana Suruhanjaya yang dimaksudkan…atau;

vii)              kepada mana-mana pihakberkuasa yang bertanggungjawab atas pemberian biasiswa, bantuan atau lain-lain keistimewaan pelajaran atau latihan atau kemudahan-kemudahan khas itu…

viii)            hendaklah mematuhi arahan-arahan itu dengan sempurna…
(Nota: Perkataan Cina dan India tidak ada dalam Perlembagaan).

ix)                BAHAWA khususnya Biasiswa yang berkaitan adalah dibawah kuasa DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong sebagai pemilihara dan pemegang AMANAH/KASTODIAN menjaga kepentingan ketuanan KE RAJAAN Melayu.


RUMUSAN

Selepas diteliti dengan begitu rapi dan diperhalusi dengan hati budi yang luhur kita dapati orang melayu seperti menumpang ditanah air sendiri. Bakat dan minda yang baik bukan lagi jaminan untuk memastikan kejayaan mendatang. Tanpa sokongan kewangan yang kukuh kita tidak akan kemana-mana.

Walaupun perlembagaan kita jelas akan hak keistimewaan melayu yang perlu dipertahankan. Tetapi tanpa sokongan dan dokongan dari mereka yang diamanahkan ianya tidak akan kemana.


Kita semakin hampir menjadi Negara maju, tetapi jarak kita dari segi ilmu dan pendidikan dengan bangsa lain semakin ketara dan tertinggal.

Justeru itu, tiada lagi jalan pintas bagi kita, yang diamanahkan membela bangsa leka dengan kejayaan dan kekayaan diri. Hingga lupa peranannya menjaga pewaris bangsa. Yang tinggal hanyalah segelintir melayu yang sayangkan bangsa dan sayangkan Negara tetapi tiada berharta.  Namun digagahinya jua demi maruah dan martabat yang ada.

Maka menyedari kelemahan itu, bangkitlah bangsaku, bersatulah kita membantu anak-anak kita yang bijak yang berada diluar Negara menuntut ilmu. Mereka perlukan bantuan kita. Sumbanglah seberapa yang ada ke TABUNG KECEMASAN PENDIDIKAN. Biarlah anak-anak kita disana menuntut ilmu dengan tenang dan balik dengan segulung ijazah. Mereka adalah pewaris kesinambungan ketuanan melayu. Biarlah kita berhabis dahulu agar bangsa kita tidak merempat ditanah air sendiri.